Thursday, 11 June 2015

6. Angin Unsur Cuaca Terpenting

Assalam wbt,

Seperti pada tajuk yang lalu telah dibincangkan angin adalah salah satu unsur cuaca yang terpenting di dalam proses pemantauan cuaca. Di dalam Al-Quran juga ada menyebut tentang kepentingan unsur angin sebagai pembawa air hujan yang membasahi muka bumi sebagai rahmat untuk para makhlukNya. Justeru itu, unsur angin harus diterima sebagai salah satu unsur terpenting di dalam kaedah membuat tinjauan cuaca. Kaedah bagaimana angin dicerap akan dibincangkan dengan lebih mendalam pada ruangan akan datang.

Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya. (Al-Hijr 15:22)

Contoh Carta Angin

Berikut adalah contoh carta angin di Semenanjung Malaysia pada 1 April 2010 pada ketinggian 5000 kaki daripada ketinggian purata paras air laut

01/04/2010 (850mb)/5000 kaki
Analisa carta angin di atas:

a) Angin bergerak daripada Timuran pada kelajuan 5 – 10 knot sekitar antara 10 – 20 km/j.

b) Terdapat pusaran angin di pantai barat iaitu diperairan Selat Melaka

c) Arah angin adalah sedikit berbeza di Indonesia di mana secara amnya angin bertiup daripada Utara pada kelajuan sekitar 5 knot atau 10 km/j


Kesimpulan Carta:

Kesimpulan awal yang boleh diperkatakan daripada carta angin di atas adalah kemungkinan berlakunya aktiviti hujan lebat dan ribut petir di perairan Selat Melaka untuk beberapa ketika dan dijangka akan turut dirasai sehingga ke negeri Pulau Pinang dan utara Perak.

Persoalan yang timbul adalah mengapa pusaran angin yang terjadi di perairan Selat Melaka berkemungkinan menjadi hujan dan ribut petir?.

Jawapan:

Angin yang datang daripada arah timur menuju pantai barat semenanjung mungkin membawa bersama wap air yang terperangkat di atmosfera. Wap air yang terbentuk semasa proses pengembangan udara akibat pemanasan muka bumi (convection). Wap air setelah bergerak beberapa ketika pada kelajuan 10 knot dan kemudian memperlahankan kelajuan perjalanannya pada 5 knot. Wap udara seterusnya akan tertumpu pada kawasan pusaran pada beberapa ketika dan menjadi bertambah berat dan akhirnya akan gugur sebagai air hujan.

Konsep mudah:
Kenderaan akan memperlahankan kenderaan jika menghampiri lampu trafik berwarna merah lalu kenderaan akan bertambah banyak pada beberapa ketika.

Insyaallah, kita akan bersambung pada ruangan yang berikutnya.

Wassalam.


Wednesday, 10 June 2015

5. Kerjaya Memantau Cuaca

Assalam wbt,

Selamat bertemu kembali.

Episod lalu kita telah melihat secara asasnya di mana saya akan cuba membawa pembaca untuk melihat kepada skop yang lebih luas di dalam isu-isu cuaca esktrem dan bencana alam yang semakin menjadi perhatian rakyat Malaysia yang sangat menghargai keamanan.

Kali ini saya akan cuba terlebih dahulu untuk berkongsi tentang bagaimana pemantauan cuaca dilakukan. Semua telah maklum, Jabatan Meteorologi Malaysia yang kini dikenali sebagai singkatan MetMalaysia diberi amanah berat untuk memantau cuaca di seluruh negara. Banyak maklumat mengenai jabatan ini boleh diperolehi daripada laman sesawang www.met.gov.my. Banyak seksyen-seksyen menarik yang diwujudkan untuk menyokong MetMalaysia bergerak selaras dengan wawasan menjadi pusat perkhidmatan meteorologi, iklim dan geofizik yang terbaik menjelang negara maju 2020.

Ibu Pejabat MetMalaysia
di Petaling Jaya

Secara umumnya, pusat perkhidmatan yang beribu pejabat di Petaling jaya menjadi pentadbir kepada cawangan cawangan setiap negeri di Malaysia. Banyak cawangan utama yang dikenali sebagai Pejabat Meteorologi (PM) di tempatkan di hampir semua Lapangan Terbang seperti di Pulau Pinang, Pahang, Butterworth, Sarawak, Sabah, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan. PM Negeri lain juga turut di wujudkan seperti di Perlis, Kedah, Langkawi, Perak dll. Selain itu, pihak MetMalaysia mengambil inisiatif memilih beberapa kawasan yang strategik bagi meletakkan beberapa alat pencerapan yang berfungsi secara automatic tanpa pegawai (stesen auxiliary).

Penubuhan PM di setiap negeri-negeri serta stesen auxiliary adalah untuk mendapatkan data pencerapan terhadap unsur-unsur cuaca bagi membantu Pegawai Meteorologi ataupun kalau dahulunya dipanggil Pegawai Kajicuaca membuat pentafsiran. Antara bahagian-bahagian dan seksyen-seksyen menarik yang diwujudkan adalah seperti seksyen Radar dan Satelit, Kaji Iklim, Numerical Weather Prediction (NWP), Pusat Gempa dan Tsunami Nasional, Pusat Cuaca Nasional dan lain-lain. Kewujudan bahagian-bahagian dan seksyen-seksyen tersebut serta yang lain-lainnya mampu meletakkan MetMalaysia sebagai sebuah agensi yang cemerlang di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Apakah unsur-unsur cuaca yang dicerap?

Antara unsur-unsur cuaca yang penting yang dicerap adalah seperti kerpasan, angin, ketampakan mengufuk, suhu, kelembapan udara, awan, tekanan permukaan, cahaya matahari. Selain itu, cuaca semasa yang berlaku seperti hujan, kabus, kabut, jerebu, ribut petir, kilat dan lain-lain turut dicerap dan dipantau.

Siapakah Pegawai Meteorologi?

Sebelum kita melihat dengan lebih jauh tentang signifikasi mencerap kesemua unsur-unsur cuaca tersebut kita akan melihat terlebih dahulu kakitangan yang bertanggung jawab menjalankan kerja-kerja pemantauan cuaca di seluruh pejabat seperti yang dibincangkan di atas.

Secara umumnya, mereka mempunyai dan berkelulusan samada Ijazah Sarjana Muda Sains di dalam bidang Matematik, Fizik atau Oceanography. Bidang-bidang tersebut diperlukan di dalam kerjaya ini kerana ia adalah asas kepada ilmu meteorologi yang merangkumi pengetahuan menyeluruh dari aspek sains dan matematik. Memandangkan kerjaya ini bukan berada dalam kerjaya “main stream” negara seperti Pengurusan, Kewangan, Perakaunan, Kejuruteraan, Doktor dll, mereka-mereka yang berjaya dilantik menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan tetap disediakan latihan yang secukupnya oleh jabatan sebelum memulakan khidmat. Pegawai baharu akan dilantik bermula daripada gred C41 dan seterusnya berpeluang untuk menikmati kenaikan pangkat sehingga ke gred utama iaitu JUSA C/B tertakluk kepada kemampuan, kebolehan, kepakaran dan jawatan yang wujud dalam jabatan.  

Pegawai meteorologi akan turut dibantu oleh beberapa pegawai sokongan daripada Penolong Pegawai Meteorologi (C27) yang berkelulusan Diploma dan Pembantu Meteorologi (C17) untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kesemua pegawai dan pegawai sokongan akan ditempatkan ke mana-mana lokasi yang terdapat kekosongan sejurus tamat dan lulus di dalam kursus Asas Meteorologi. Ada yang bakal ditempatkan di seskyen-seksyen tertentu berdasarkan penilaian dan pemilihan yang dibuat terhadap prestasi dan kemampuan pegawai daripada semasa ke semasa. Bagi yang telah ditempatkan di seksyen yang memerlukan pegawai untuk membuat pemantauan cuaca penerbangan di stesen atau pejabat pemantauan, mereka diwajibkan untuk menduduki peperiksaan Aviation Meteorological Proficiency (AMP) bagi melayakkan mereka berkhidmat di seksyen tersebut sejajar dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh World Meteorological Organization (WMO). 


Bagi pegawai yang ditempatkan di Pusat Gempa Bumi dan Tsunami Nasional (PGTN) pula, mereka tidak akan terlibat dalam kerja-kerja memantau cuaca tetapi lebih tertumpu kepada memantau kejadian gempa bumi dan tsunami. Kaedah pemantauan dan sistem yang digunapakai adalah jauh berbeza daripada yang diamalkan oleh pemantau cuaca. 

Insyaallah, kita akan bersambung pada ruangan berikutnya.

Wassalam

Tuesday, 9 June 2015

4. Cuaca Ekstrem dan Bencana Alam

Assalam wbt,

Selamat bertemu kembali.

Mari kita berkenalan sedikit tentang cuaca di negara kita. Semua sudahpun tahu yang negara kita terletak betul-betul di garisan khatulistiwa dan kaya dengan hutan hujan tropika. Allah telah atur sebaik mungkin kehidupan flora dan fauna di negara kita yang mana kita dapat saksikan sendiri mereka tetap hidup subur dan berkembang biak walaupun adakalanya cuaca menjadi terlalu ekstrem samada terlalu panas atau terlalu sejuk. Tidak dapat dinafikan ada kalanya mereka juga akan turut mati disebabkan cuaca ekstrem yang melanda.

Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara lain pada amnya memiliki musim cuaca yang hampir serupa iaitu panas dan lembab sepanjang tahun berlainan daripada negara-negara yang berada di garisan latitud pertengahan hinggalah ke kutub yang menyaksikan sistem cuaca yang agak sedikit berlainan daripada negara kita iaitu musim panas, luruh, bunga dan sejuk pendek kata sistem empat musim.

Saya ringkaskan sedikit sistem cuaca dan iklim di negara kita di dalam jadual di bawah. Maklumat penuh tentang cuaca dan iklim boleh diperolehi melalui laman sesawang www.met.gov.my.

Bulan (Secara Amnya)
Musim
November - Mac
Musim Timur Laut (Tengkujuh)
Mei - September
Musim Barat Daya
April dan Oktober
Musim Peralihan

Cuaca esktrem bagi sesetengah orang disebut sebagai cuaca melampau tetapi mungkin ada benarnya kerana dalam kamus dewan pun guna perkataan “melampau” walaupun ianya diambil daripada perkataan Inggeris “extreme”.  Tak semestinya cuaca yang sedang berlaku di luar rumah sekarang boleh menjadi ekstrem kadang-kadang cuma hujan atau panas biasa sahaja, jadi persoalannya, bilakah cuaca yang berlaku akan menjadi esktrem?. Jawapanya, cuaca dikategorikan ekstrem bila kehadirannya melebihi daripada kadar biasa. Pendek kata kehadiran cuaca esktrem boleh mengundang bencana kepada penduduk bumi. 

Persoalan berikutnya, apakah tahap cuaca esktrem yang boleh dikategorikan sebagai bencana?. Kerana, adakalanya hujan lebat yang turun melebihi kadar biasa tidak juga meninggalkan sebarang kesan pada harta dan nyawa manusia. Bagi merungkai persoalan ini kita harus merujuk kepada definisi bencana yang telah diterbitkan daripada sumber seperti di bawah.

Definisi Bencana oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)

“Suatu kejadian yang menyebabkan gangguan kepada aktiviti masyarakat dan urusan negara, melibatkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda, kerugian ekonomi dan kemusnahan alam sekitar yang melangkaui kemampuan masyarakat untuk mengatasinya dan memerlukan tindakan penggemblengan sumber yang ekstensif.”

Sumber : Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana - Semakan 2012; http://portalbencana.mkn.gov.my/Portal/


Apakah kaitan Gempa Bumi dan Cuaca Ekstrem

Secara amnya, memang ada sedikit perbezaan antara kedua-dua kejadian alam ini. Cuaca biasanya datang daripada atmosfera dan turun ke bumi seperti hujan, salji, ribut petir, angin kencang, jerebu, kabus, kabut dan lain-lain. Gempa bumi adalah fenomena yang datang dari kerak bumi iaitu bentuk tenaga yang dilepaskan secara semula jadi akibat daripada pergeseran pada kerak bumi. Yang menjadi persamaan kepada kedua-dua kejadian ini adalah hasil yang ditinggalkan kepada penduduk bumi ini iaitu bencana. Sebagai contoh, angin kencang yang datang dalam bentuk taufan akan meninggalkan kesan bencana yang sama seperti gempa bumi iaitu rumah rosak dan adakalanya boleh meragut nyawa.

Apakah kaitan Gempa Bumi dan Tsunami

Seperti yang dinyatakan di atas, gempa bumi berpunca daripada sejumlah tenaga yang dilepaskan akibat daripada pergeseran kerak bumi yang telah wujud secara semula jadi. Muka bumi yang wujud sekarang ini pada asalnya terbina hasil daripada pergerakan kerak bumi sejak beribu ribu tahun dahulu lagi. Gempa bumi boleh terjadi samada di daratan ataupun lautan. 

Gempa bumi yang terhasil daripada kerak bumi di daratan boleh menyebabkan kita merasa bergoyang seakan akan pening kepala. Ini berlaku kerana gelombang tenaga atau apa yang dipanggil Gelombang Seismic (Seismic Wave) daripada Titik Gempa (Epicenter) bergerak ke permukaan bumi. Gelombang ini bergerak dalam pelbagai arah dan pada kelajuan yang berbeza. Terdapat dua jenis gelombang utama yang sangat penting iaitu Body Waves (BW) dan Surface Waves (SW). Kelebihan BW ialah ianya dapat bergerak dari titik gempa di dalam kerak bumi menuju ke permukaan dan seterusnya SW akan meneruskan pergerakan pada permukaan bumi. Pada kebiasaanya, kita dapat merasa kedua-dua gelombang ini jika titik gempa berlaku berdekatan dengan kediaman tetapi kehadiran SW lebih mudah dirasai. Bangunan atau rumah yang bergoyang adalah disebabkan kehadiran SW. Pada kebiasaanya kehadiran SW lebih ditakuti kerana kesan goyangan dan goncangan boleh mengundang bencana akibat daripada retakan ataupun runtuhan bangunan.

Gempa bumi yang berlaku di daratan tidak akan menyebabkan berlakunya tsunami sebaliknya jika ianya berlaku di dasar lautan, ianya boleh berlaku. Namun, tidak semua gempa bumi yang berlaku di dasar laut boleh mengundang tsunami. Ada beberapa kriteria lain yang diperlukan bagi membolehkan sejumlah isipadu air bergerak menuju ke pantai.


Insyallah, saya akan cuba berkongsi maklumat lanjut mengenai kejadian cuaca esktrem, gempa bumi dan tsunami pada ruangan akan datang.

Sekian. Wassalam.


Monday, 8 June 2015

3. Kerosakan Bumi Disebabkan Perbuatan Manusia

Assalam wbt,

Tiada siapa dapat bertelagah tentang salah siapa yang menyebabkan berlakunya bencana di sana sini kerana secara terang MANUSIAlah puncanya. Sikit atau banyak manusia tetap membuat kerosakan cuba lihat dikeliling kita, sampah berserakan, pokok-pokok ditebang, bukit digondolkan dan seribu satu kesilapan yang dilakukan oleh kita samada dengan atau tanpa sedar. Allah Maha Perancang dan Mengetahui tentang kelemahan ciptaanNya yang bernama manusia lalu memberi sedikit ujian dan dugaan agar kita dapat kembali kepadaNya seperti ayat di bawah yang tercatat di dalam Surah Ar-Rum (30:41). Rujukan online: www.surah.my.



"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan olehtangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasanperbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)"


Ujian dan dugaan boleh datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang hidupnya kaya tetapi jiwa kacau, ada yang sihat tetapi diuji dengan kemiskinan, ada yang walaupun sudah susah dan miskin tetapi tetap diuji dengan kehidupan yang sangat melarat dan ada yang diuji dengan bencana cuaca yang tidak pernah putus.


Dalam konteks kita pada ruangan ini dan akan datang, Insya Allah, kita akan cuba memahami bagaimana bencana ini terjadi yang akhirnya tanpa disedari kitalah puncanya.

Sekian. Wassalam.

2. Bencana Alam Sana Sini

Assalam wbt,

Semua rakyat Malaysia telah maklum tentang wujudnya bencana baharu yang sedang melanda negara. Tanggal 5 Jun 2015. Sabah telah digegarkan dengan sebuah gempa bumi dengan kekuatan magnitud 5.9 pada skala Richter dan telah meragut ramai nyawa dan beberapa lagi masih hilang. Kejadian alam ini yang walau ianya jarang berlaku seharusnya menjadi satu peringatan tentang tanda tanda dan kekuasaanNya sebagai tazkirah kepada hamba-hambanya yang sering berbuat dosa.

Sehingga hari ini (8 Jun 2015) gegaran masih dirasai ekoran gempa susulan (after schock) yang masih berlaku walaupun selepas 3 hari berlalu. Menurut kajian daripada beberapa bahan bacaan, ada yang mengatakan gempa kecil boleh berlaku lagi untuk satu tempoh masa mungkin beberapa hari lagi, mungkin beberapa minggu lagi ataupun mingkin beberapa bulan lagi keranya ianya adalah proses biasa kerak bumi untuk kembali stabil setelah sekian lama menyimpan tenaga akibat daripada perselisihan plate-plate tektonik yang sentiasa bergerak di perut bumi dan di seluruh dunia.

Biarlah pihak kerajaan dan yang berkenaan khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis, Pasukan SMART, Bomba, Malim Gunung dll yang berkenaan menjalankan tugas mereka dengan penuh dedikasi dalam menyelamat mangsa-mangsa yang masih terperangkap. Usah diganggu tugas mereka kerana kadang-kadang tindakan kita yang berlebihan boleh mengganggu tugas tugas suci mereka. Sentiasalah bersikap terbuka dan berhemah jika menggunakan media dalam mendapatkan maklumat. 

Namun persoalan yang timbul, kita sebagai insan yang terselamat ini, apa yang harus dilakukan. Adakah kita sentiasa harus bersedih?. terasa takut takut kalau kalau gempa melanda ke negeri-negeri semenanjung?. perlukah kita cepat melatah?..jawapannya KITA BERSERAH sahaja pada Allah swt agar diberikan petunjuk dan diselamatkan kita daripada ditimpa bencana yang sama kerana agama Islam itu sendiri bermaksud "BERSERAH".

Insya Allah, saya akan cuba mendapatkan beberapa maklumat berguna untuk sama-sama kita belajar tentang bencana alam ini termasuklah bencana yang berlaku berkaitan cuaca yang lain.

Wassalam

1. Sekadar Permulaan


Assalam wbt.

Salam permulaan dan salam perkenalan. 

Hari ini tetiba terdetik untuk buat blog sendiri selepas memikirkan bermacam macam kejadian atau perkara berlaku dalam diri kita akhir akhir ini. Harapan saya dengan kehadiran di alam maya ini kita sama sama dapat berkongsi maklumat atau rahsia yang bukan rahsia sebenarnya dalam erti kata lain, berkongsi ilmu apa yang kita tahu. Semoga dengan perkongsian yang tak seberapa ini akan diberi ganjaran oleh Allah swt.

Harap maaf jika blog ini banyak kekurangan semoga ianya akan bertambah canggih dan advance selepas ni.

Sekian. Wassalam.